Sudahlah menguasai 40 peratus daripada sektor pekerjaan di negara ini, penetapan gaji juga terkesan dengan dominasi pekerja asing yang mempunyai kos sara hidup jauh lebih rendah berbanding seorang rakyat Malaysia.

 

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memetik laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kebergantungan terhadap pekerja asing merupakan sebab utama gaji graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) statik atau kadangkala menurun.

“Logiknya mudah, kerana melihat kos sara hidup pekerja asing jauh lebih rendah daripada kos sara hidup rakyat negara ini yang bermaksud syarikat korporat atau badan kerajaan mampu membayar jauh le­bih rendah berbanding rakyat sendiri.

“Disebabkan persaingan ti­dak adil ini, rakyat Malaysia khususnya belia mahir dan graduan TVET menerima tempias negatif. Sudahlah peluang pekerjaan perlu bersaing de­ngan pekerja asing, gaji ditawar pula statik atau terpaksa diturunkan seperti diterima pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen Belia Mahir Kali Kelima Majlis Belia Malaysia (MBM) di Bangi dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Sehubungan itu, Syed Saddiq memberitahu, antara perkara yang menjadi tumpuan serta komitmen beliau serta kerajaan ialah untuk memastikan tiada kebergantungan terhadap pekerja asing.

Beliau bertekad mahu mengembalikan kualiti kerja kepada rakyat Malaysia khususnya anak muda dan graduan berkemahiran.

“Kami mahu pastikan mereka dapat kualiti kerja yang baik dan gaji yang bermaruah,” tegas beliau.

Sementara itu, ketika diajukan soalan mengenai kelangsungan program Transformasi Nasional (TN50) yang digerakkan kerajaan sebelum ini dalam sidang akhbar selepas majlis, Syed Saddiq memberitahu perkara itu sedang dibincangkan sebelum diterjemahkan kepada dasar.