JPK STAFF     

2019

Jenamakan TVET dengan acuan kita

There is no translation available. This contents only available in Malay version.

Berita Harian, 15 April 2019

DI Malaysia, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah sektor utama membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri.

Terdapat lebih 1,200 institut TVET melaksanakan kemudahan pendidikan dan latihan itu di Malaysia, dengan 45 peratus adalah sektor awam. Pendaftaran tahunan merekodkan lebih 200,000 pelajar TVET.

Tujuh kementerian memiliki dana dan mengendalikan institusi sektor awam serta dua agensi berbeza mengawal selia sektor itu iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sekurang-kurangnya RM1.3 bilion pembiayaan kerajaan diperuntukkan untuk mengendalikan institusi awam.

Di Malaysia, ada empat cabaran utama melaksanakan TVET - tadbir urus tidak diselaraskan, penyelarasan pelaksanaan pembekal latihan daripada pelbagai kementerian, bidang teknologi tidak diiktiraf serta dua badan akreditasi yang tidak diselaraskan.

Pelaksanaan mesti diterima industri

Semua cabaran ini memerlukan pertimbangan untuk diharmonikan bagi memastikan pelaksanaan bidang TVET negara diterima semua industri.

Salah satu cadangan adalah mewujudkan sistem akreditasi khusus untuk memudahkan koordinasi dan pemantauan TVET yang lebih baik, mengikut acuan Malaysia.

Mengimbas sejarah, TVET di Malaysia bermula pada 1964. Institut Teknikal dibangunkan pada masa itu bagi melatih belia tercicir dari arus persekolahan.

Peluang ini digunakan Kementerian Pendidikan pada masa itu dalam memastikan setiap warga negara diberi hak untuk mendapatkan pendidikan selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Ini jelas dapat dilihat dengan wujud pendidikan kemahiran vokasional pada peringkat sekolah rendah dan disambung ke peringkat menengah.

Pendidikan kemahiran hidup yang diwujudkan pada peringkat awal bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai keperluan individu berhadapan situasi kehidupan harian, seterusnya memberi peluang kepada pelajar untuk berdikari dalam menghadapi cabaran hidup.

Asas pendidikan kemahiran hidup ini dilebarkan dengan mengaitkan kemahiran berdikari kepada kemahiran asas pekerjaan, sehingga tertubuhnya sekolah vokasional.

Tambah baik latihan vokasional

Perubahan zaman dan perkembangan teknologi mengubah landskap TVET di Malaysia dengan usaha diambil pelbagai kementerian bagi menambah baik latihan vokasional, agar sesuai mengikut bidang profesion masing-masing.

Maka wujud lapan kementerian yang melihat TVET sebagai bidang yang tidak patut dipandang ringan, memandangkan banyak negara maju menjadikannya sebagai laluan utama dalam sistem pendidikan dan latihan bagi membantu negara meningkatkan ekonomi selaras sumber ekonomi.

Negara seperti Jerman, Australia, Austria, Finland, United Kingdom (UK) dan Switzerland sudah lama mengiktiraf TVET sebagai laluan utama dalam sistem pendidikan mereka selaras permintaan dan sokongan kerajaan yang memberikan keutamaan dalam membantu memperkembangkan ekonomi negara berkenaan.

Acuan pelaksanaan TVET di Malaysia yang boleh kita jenamakan sebagai MyVET adalah langkah awal memberi nafas dan imej baharu kepada industri itu. Penyelarasan aspek ‘3A’ - akreditasi, akses dan artikulasi - sangat penting.

Akreditasi - JPK dan MQA perlu mencapai kata sepakat bagi memastikan setiap kementerian yang melaksanakan program TVET dapat menggunakan sistem standard. Ini penting bagi memastikan JPK menggunakan amalan kompetensi mengikut gred, agar dapat memudahkan perpindahan kredit dilakukan dalam sistem gred kumulatif.

Akses - pelbagai usaha sedang dan sudah dilaksanakan bagi membantu graduan lepasan TVET di institusi awam dan swasta mendapat peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran TVET.

Kerajaan tidak seharusnya menafikan hak individu dalam mencapai cita-cita meningkatkan kerjaya dan pengetahuan mereka ke peringkat tertinggi.

Celaru pilih laluan pendidikan

Artikulasi - amalan sedia ada tidak menggambarkan pelaksanaan sistematik. Merujuk Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF 01) sebelum 2019, tiga laluan pendidikan iaitu kemahiran, TVET dan akademik. Ini menyebabkan timbul kecelaruan dalam kalangan pelajar yang kurang memahami dalam memilih laluan pendidikan sehingga peringkat tertinggi. Adalah wajar jika hanya laluan TVET dan akademik ada dalam kerangka kelayakan Malaysia. Bagaimanapun asas akademik wajib bagi semua pelajar, agar mereka lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dalam meneruskan laluan pendidikan dan latihan seterusnya.

TVET kini tidak lagi signifikan dikaitkan dengan bidang kemahiran tangan semata-mata, malah keupayaan menggunakan kemahiran kognitif dan afektif adalah cabaran utama dalam penghasilan sumber manusia yang berketrampilan dan berpengetahuan.

Persoalannya, adakah sistem TVET kita mampu berhadapan semua cabaran ini atau kita masih mahu bertelagah sesama kementerian bagi menegakkan kebenaran dan keegoan masing-masing? Sama-samalah kita fikirkan apakah acuan sebenar MyVET yang akan kita hasilkan bagi membuktikan harapan negara dapat dipenuhi.

Penulis adalah Penyelidik Utama di Pusat Kecemerlangan TVET di UTHM