Anak jati Sarawak mewakili Malaysia dalam pertandingan world skills di Kazan, Rusia
KUCHING, 10 April (Bernama) -- Dua orang anak jati Sarawak adalah antara 20 individu yang terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan World Skills Competition (WSC) 2019 yang akan berlangsung pada 22 hingga 27 Ogos depan di Kazan, Rusia.
Timbalan Menteri Sumber Manusia , Datuk Mahfuz Omar berkata dua peserta Sarawak itu ialah Hanafi Osman dari GiantMara, Saratok dalam bidang Teknologi Fesyen dan Ahmad Naim Mohamad Rosli dari Akademi Binaan Malaysia wilayah Sarawak dalam bidang Mengecat dan Hiasan.
“Kedua-dua peserta ini memberikan imej yang baik khususnya dalam kalangan belia Sarawak untuk menjadikan bidang kemahiran sebagai pilihan utama selain daripada bidang akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pejabat Ketua Menteri, Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Ahmad Nazri Abdul Azid, Pengarah Bahagian Pejabat Pemantauan Projek/Project Monitoring Office (PMO), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Zuleah Darsong dan Ketua Penolong Pengarah PMO, Mohd Zuhdi Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata sebagai persediaan, para peserta kini giat menjalani latihan intensif di bawah bimbingan pakar yang telah dilantik.
“Pada masa kini, seramai 13 peserta sedang menyertai 2019 Australia Global Skills Challenge yang bermula pada hari ini sehingga Isnin depan sebagai pendedahan awal kepada pertandingan peringkat antarabangsa, termasuklah seorang peserta dari Sarawak bagi bidang Teknologi Fesyen,” katanya.
Dalam pada itu, kata Mahfuz, untuk mengalakkan lebih ramai anak Sarawak mengentengahkan bakat kemahiran masing-masing, kementerianya sekali lagi bakal menganjurkan WorldSkills Malaysia Sarawak (WSMS) 2019 di Kuching.
Pertandingan WSMS 2019 ini dijangkakan akan berlangsung pada 9 hingga 13 September.
“Pertandingan ini bakal disertai oleh pelajar-pelajar Institut Latihan Awam, Institusi Latihan Kemahiran Swasta, Universiti Awam dan Swasta di seluruh negeri Sarawak dan sebanyak 15 bidang kemahiran akan dipertandingkan.
“Turut akan dianjurkan adalah Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2019 bagi memeriahkan lagi suasana pertandingan WSMS dan mempromosikan aliran TVET,” katanya
--BERNAMA