Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, enam jawatankuasa itu antaranya adalah Jawatankuasa Kerja Tadbir Urus TVET, Jawatankuasa Kerja Pensijilan dan Pengiktirafan, Jawatankuasa Kerja Pembiayaan Latihan dan Jawatankuasa Kerja Peningkatan Kualiti Latihan TVET.

 

Katanya, keenam-enam jawatankuasa itu adalah pertambahan daripada dua jawatankuasa sedia ada sebelum ini iaitu Jawatankuasa Teknikal Standard serta Jawatankuasa Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan Kemahiran.

“Dengan langkah ini, kita berharap TVET selepas ini mampu menyediakan jumlah tenaga kerja mahir lebih besar apatah lagi dalam mengangkat jumlah tenaga mahir ketika ini iaitu 27 peratus berbanding sasaran 30 peratus pada 2020.

“Kita berharap usaha semua pihak dapat menyediakan keperluan pekerja mahir di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MPKK di bangunan kementerian di sini sebentar tadi.

Pada mesyuarat itu, sebanyak 18 standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) baharu telah diluluskan dan lapan NOSS pula dikemaskini berdasarkan keperluan semasa industri.

MPKK merupakan sebuah majlis ditubuh berdasarkan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi menjalankan fungsi meluluskan standard kemahiran pekerjaan kebangsaan (NOSS) serta menasihati Menteri Sumber Manusia tentang perkara melibatkan latihan kemahiran dan apa-apa perkara berkaitan akta.

Selain itu, majlis itu turut berperanan untuk melaksanakan sebarang fungsi lain sebagaimana ditetapkan oleh akta. - UTUSAN ONLINE