WARGA JPK     

2019

Industri disaran sokong pertandingan kemahiran bantu perkasa bidang TVET

Kosmo - 16 April 2019

KUALA LUMPUR - Pihak industri di negara ini disaran agar bekerjasama dan terlibat secara aktif dalam menyokong pertandingan kemahiran yang dianjurkan untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, penglibatan lebih banyak pihak industri yang bergiat aktif dalam aktiviti pertandingan kemahiran akan membantu meningkatkan lagi kompetensi dan kualiti tenaga kerja mahir yang bakal dilahirkan.

"Ini secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada pembangunan industri itu sendiri. Keterlibatan pihak industri akan meningkatkan kualiti latihan dan keyakinan peserta negara memandangkan mereka mendapat pendedahan secara terus teknologi semasa dan suasana kerja sebenar di industri.

"Pelaburan dalam meningkatkan daya saing tenaga mahir negara ini akan mendapat pulangan pada masa hadapan dari segi keyakinan pelabur dalam sektor-sektor industri tertentu yang mencapai kecemerlangan dalam pertandingan sebegini," katanya dalam ucapan ketika melancarkan kontinjen Malaysia yang akan menyertai World Skills Competition (WSC) 2019 di Kazan, Russia dari 16 hingga 26 Ogos ini.

Teks ucapan Dr. Wan Azizah dibacakan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran. - Bernama