PTPK, JPK beri amaran kepada AATC
Berita Harian - 29 Ogos 2019
KUALA LUMPUR: Pusat Bertauliah (PB) Allied Aeronautics Training Centre (AATC) masih belum didaftarkan sebagai penyedia latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Sehubungan itu PTPK dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam kenyataan semalam memberi amaran kepada pihak pengurusan AATC supaya tidak menggunakan Pinjaman Latihan Kemahiran PTPK sebagai janji kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di PB terbabit.
“PTPK sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 72 (1) berkenaan larangan ke atas pengiklanan sama ada melalui iklan, prospektus, risalah atau selainnya sekiranya PL (Pusat Latihan) belum berdaftar dengan PTPK.
“Mengikut Seksyen 33 (1) Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640). Penyedia latihan kemahiran hanya boleh memohon kemudahan pinjaman latihan kemahiran selepas ia berdaftar dan menjalankan program latihan kemahiran yang didaftar dan diluluskan mengikut Akta 640.
“PTPK juga sudah membuat hebahan menerusi surat pemakluman Larangan Pengambilan Pelatih sebelum kelulusan kuota bertarikh 15 Julai 2019,” katanya.
Semalam berlangsung pertemuan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dengan pelajar dan pihak pengurusan AATC di pejabatnya di Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, menteri dan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Manusia mengambil maklum isu berbangkit serta berusaha untuk mendapatkan penyelesaian terbaik.
“Menteri juga menekankan supaya semua PB tidak menjanjikan pinjaman latihan kemahiran PTPK sebelum kelulusan peruntukan disalurkan kepada PB berkenaan,” katanya.
Berdasarkan semakan awal PTPK dan JPK terhadap PB berkenaan mendapati pusat terbabit tergolong dalam kategori Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Isnin lalu, dianggarkan seramai 90 pelajar AATC mengadakan bantahan terhadap pengurusan pusat berkenaan di Kelana Jaya.