WSC 2019 Kazan platform iktiraf kemahiran unggul
Berita Harian - 25 Ogos 2019
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk mengoptimumkan sumber tenaga kerja kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi tanpa terlalu bergantung kepada kepakaran luar dapat dilihat menerusi pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pendidikan TVET yang suatu ketika dilihat kurang mendapat pendedahan dan sambutan oleh belia, kini semakin diterima memandangkan aliran pendidikannya selari dengan permintaan dalam pasaran kerja pada hari ini.
Tidak setakat itu saja, bagi meyakinkan pendidikan TVET ini mampu menjamin satu kerjaya terbaik kepada seseorang, kerajaan turut aktif menghantar peserta menyertai WorldSkills Competition (WSC) iaitu pertandingan kemahiran peringkat dunia.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, pertandingan dua tahun sekali dianjurkan oleh WorldSkill International (WSI) ini menghimpunkan lebih 60 negara dengan 56 kemahiran dipertandingkan.
Ia diadakan bertujuan untuk memperkasakan bidang TVET ke peringkat lebih tinggi selain menjadi antara medium utama transformasi sosioekonomi setiap negara yang bertanding.
Menurut kenyataan itu, pada tahun ini negara menghantar seramai 24 peserta dari dua kategori iaitu belia dan junior untuk bertanding dalam 22 bidang kemahiran bagi merebut gelaran juara pada WSC Kazan 2019 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Expo KAZAN, Russia pada 22 hingga 27 Ogos ini.
“WSC 2019 Kazan adalah pertandingan edisi ke-45 dan ia disertai seramai 1,355 peserta daripada 63 negara dari seluruh dunia. Peserta negara kita pula terdiri daripada pelajar institusi TVET awam dan swasta, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berusia 19 hingga 22 tahun.
“Mereka akan bertanding dalam bidang antaranya pembuatan kabinet, bakeri, mengecat kereta, memasak, pemasangan elektrikal, teknologi fesyen, pertukangan barang kemas, kimpalan, penyejukbekuan dan penyamanan udara, operasi drone dan robot mudah alih,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia sudah menyertai sebanyak 13 kali WSC antaranya di Perancis, Switzerland, Korea, Kanada, Jepun, Finland dan German.
Pencapaian terbaik yang pernah dimenangi oleh peserta negara ialah ketika di WSC Abu Dhabi 2017 apabila berjaya membawa pulang dua pingat gangsa dan sembilan Medallion for Excellence.
Sebelum itu, pada WSC Sao Paulo 2015 di Brazil pula, peserta berjaya meraih satu pingat gangsa dan 12 Medallion for Excellence, namun begitu secara keseluruhannya setiap kali menyertai WSC, peserta pasti akan membawa pulang Medallion for Excellence.
Malah, Malaysia turut menjadi ahli organisasi WSI daripada 82 negara pada tahun 1993 dan terus menyertai WSC yang diadakan di Taipei, China ketika itu.
Kenyataan itu turut berkata, penyertaan negara ke WSC Kazan 2019 kali ini bertujuan untuk mengiktiraf tahap kemahiran belia dan pelajar dalam bidang TVET, selain menjadi penanda aras tahap kemahiran peserta di peringkat dunia.
“Selain itu, ia juga dapat memartabatkan aliran TVET di Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa melalui pertandingan kemahiran, pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran seterusnya hingga dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir negara bertaraf dunia.
“Pada masa sama, pengamal TVET akan mendapat pendedahan berkenaan perkembangan teknologi terkini dalam bidang masing-masing melalui pembabitan dalam pertandingan peringkat antarabangsa ini,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, bagi memastikan persediaan dan pencapaian peserta negara dalam WSC 2019 kali ini, pelbagai strategi dilakukan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KSM bersama-sama Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama pakar negara dari institusi TVET, pengajian awam dan swasta serta syarikat swasta dalam misi kali ini.
“Antara program yang dilaksanakan seperti latihan intensif di pusat kecemerlangan, menyertai pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa, pertandingan persahabatan, latihan industri di bawah bimbingan pakar industri serta program pemantapan jati diri, disiplin dan motivasi.
“Malah, menerusi pertandingan ini, kerajaan juga menyediakan insentif wang tunai kepada pemenang WSC 2019 kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat dunia dan mengangkat martabat aliran TVET negara.
“Kerajaan turut berharap agar agenda pembangunan kemahiran, khususnya pertandingan kemahiran ini dapat dipromosikan lebih meluas,” kata kenyataan itu.