Aiman Afiq raih gangsa WSC Kazan 2019
Berita Harian - 30 Ogos 2019
Sepang: Pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, Aiman Afiq Suradi, mengharumkan negara dengan membawa pulang pingat gangsa pada pertandingan WorldSkills Competition (WSC) Kazan 2019 yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Expo KAZAN, Russia pada 22 hingga 27 Ogos lalu.
Kejayaan itu diraih menerusi pertandingan kemahiran peringkat junior iaitu Operasi Drone dan pasukan negara turut berjaya membawa pulang sembilan Medallion for Excellence.
Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, kejayaan pasukan negara adalah hasil kerjasama erat semua pihak termasuk agensi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pakar negara, jurulatih serta pihak yang memberi sumbangan dalam mengatur strategi dan pelbagai persiapan rapi.
Kenyataan itu berkata, pencapaian ditunjukkan peserta negara, secara tidak langsung memartabatkan bidang TVET negara serta membuktikan bahawa aliran TVET dapat melahirkan tenaga kerja kreatif, inovatif serta berkemahiran tinggi ke arah negara yang lebih baik.
“Pada WSC kali ini, negara menghantar seramai 24 peserta bertanding dalam 19 bidang kemahiran peringkat belia dan tiga bidang kemahiran peringkat junior.
“Peserta negara terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA/ILKS), Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) serta pelajar sekolah menengah yang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia sebagai Chief de Mission, Datuk Mahfuz Omar,” katanya.
WSC adalah pertandingan kemahiran paling berprestij di peringkat dunia yang diadakan dua tahun sekali dan disertai oleh belia berkemahiran dari semua negara anggota World Skills International (WSI).
Pertandingan kali ini, membabitkan sebanyak 63 negara bertanding dalam 56 bidang kemahiran dengan jumlah peserta seramai 1355 orang.